Implikasi Dapatan Kajian Kepada Proses Pengajaran Dan Pembelajaran


Hasil daripada dapatan kajian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, beberapa implikasi telah dikenal pasti. Implikasi-implikasi ini dapat dibahagikan kepada dua aspek, iaitu implikasi berdasarkan teori perkembangan fizikal kanak-kanak dan implikasi terhadap teori perkembangan kognitif kanak-kanak. 

Peringkat awal kanak-kanak biasanya bermula sekitar umur 6 hingga 7 tahun. Pada peringkat ini, kadar pertumbuhan fizikal kanak-kanak perlahan jika berbanding dengan pertumbuhan pada tahun pertama kanak-kanak tersebut. Hasil kajian menunjukkan kadar perkembangan kanak-kanak perempuan pada peringkat ini lebih cepat daripada perkembangan kanak-kanak lelaki. 

Bagi implikasi terhadap perkembangan fizikal kanak-kanak pada peringkat awal sekitar umur 6 hingga 7 tahun ini, guru-guru dinasihatkan agar membantu kanak-kanak tetapi hanya setakat mana yang perlu. Bantuan yang berlebihan akan menyebabkan pergantungan kanak-kanak kepada ibu bapa atau guru dan menimbulkan perasaan kurang yakin untuk melakukan sesuatu dengan sendiri. Di samping itu, kanak-kanak pada tahap ini akan berkembang pada tahap berbeza. Kanak-kanak juga agar aktif pada peringkat ini. Maka, guru harus menyediakan aktiviti bermain seperti permainan bola dan berlari dan mengambil kira perkembangan otot, khususnya otot-otot kecil yang belum sempurna.
Manakala, implikasi terhadap teori perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat awal ialah mereka harus diberikan peluang untuk melakukan ‘hands-on’ terhadap sesuatu kemahiran. 

Jika mereka diberikan peluang ini, keyakinan mereka akan dapat dipertingkatkan dan mereka juga mampu untuk berdikari dengan kemahiran yang mereka kuasai. Seterusnya, guru harus menyediakan pengalaman pembelajaran yang pelbagai. Selain dalam lingkungan bilik darjah atau taska, guru perlu membawa murid-murid untuk merasa pengalaman di luar bilik darjah. Hasil dapatan kajian, kanak-kanak pada peringkat ini mudah untuk mengingati setiap peristiwa yang mereka alami dan lalui, jika pengenalan flora dan fauna diberikan kepada mereka, ingatan dan fikiran mereka akan kaya dengan pengalaman yang diberikan oleh guru yang terbabit.

Hasil dapatan kajian perkembangan fizikal kanak-kanak dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun pula berbeza kerana pada peringkat ini, kadar pertumbuhan kanak-kanak stabil dan tidak pesat. Pada umumnya kanak-kanak berupaya untuk fokus kepada aktiviti yang diberikan kepada mereka. Bagi implikasi terhadap perkembangan fizikal kanak-kanak dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun iaitu guru harus mengajar kanak-kanak bermain alat muzik seperti piano atau biola dan sebagainya. Kanak-kanak lelaki pula lebih cenderung ke arah permainan lasak seperti permainan di padang. Selain itu, aktiviti senaman dan pemakanan yang sesuai perlu diterapkan agar saiz, berat badan dan rakan sebaya tidak akan menimbulkan sebarang masalah sosial dan penyesuaian.

Manakala, implikasi terhadap teori perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat kedua pula ialah kanak-kanak harus diajar dengan menggunakan bahan yang konkrit terutama untuk belajar kemahiran baru. Bahan-bahan konkrit ini mestilah mempunyai ciri-ciri yang boleh menarik perhatian mereka. Sebagai contoh, model-model tiga dimensi 3D seperti haiwan dan tumbuhan boleh membantu kanak-kanak mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada mereka. Implikasi lain terhadap proses ini ialah kanak-kanak harus diberi peluang untuk memanipulasi dan menguji objek-objek yang diajar. Sebagai contoh, satu eksperimen telah dijalankan dalam subjek sains seperti mengkaji keperluan cahaya matahari untuk proses fotosintesis tumbuhan.

Peringkat awal remaja ialah 11 hingga 12 tahun, hasil dapatan kajian menunjukkan kadar pertumbuhan dan perkembangan mereka adalah cepat dan pesat, sama seperti kadar perkembangan semasa bayi. Perubahan fizikal seperti ketinggian, saiz dan bentuk badan mula ke arah dewasa tetapi remaja perempuan cepat mencapai akil baligh berbanding dengan remaja lelaki. Akil baligh menandakan kematangan daripada segi seksual. Maka implikasi terhadap perkembangan fizikal iaitu guru  digalakkan menyediakan kursus, ceramah tentang aktiviti seksual dan sistem pembiakan agar remaja mengetahui aspek-aspek perubahan fisiologi yang berlaku dalam diri mereka, serta guru juga perlu menyediakan ruang pertanyaan untuk mereka tentang perubahan yang sedang berlaku dalam diri mereka agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat.

Seterusnya, guru juga boleh menyediakan latihan untuk membantu remaja membina daya tenaga dan daya tahan. Oleh sebab remaja pada peringkat ini lebih sensitif terhadap perubahan fizikal dan bentuk badan, adalah wajar mereka juga diberi kesedaran tentang gaya hidup sihat terutama dari segi pemakanan, senaman dan mengelakkan aktiviti-aktiviti yang negatif seperti merokok dan mengambil dadah.

Manakala, implikasi terhadap teori perkembangan kognitif pada peringkat awal remaja ialah remaja boleh menggunakan bahan konkrit untuk mengilustrasikan konsep yang lebih kompleks. Sebagai contoh, penggunaan bahan 3D, model, carta, rajah, pengalaman pelajar sendiri sebagai permulaan kepada pengajaran yang lebih kompleks.

Selain itu, guru harus memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka alternatif penyelesaian dan membuat hipotesis. Dengan pendedahan yang diberikan pada peringkat sebelum ini, guru perlu memberi lebih banyak peluang kepada pelajar menyelesaikan masalah mereka dengan sendiri. Guru juga perlu menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Semasa pengajaran berlaku di dalam kelas, guru boleh menyuruh pelajar untuk meneroka dan mengkaji sendiri konsep yang luas dan tidak hanya terikat dengan fakta-fakta. Setelah itu, guru harus menerima pendapat yang diberikan oleh pelajar serta guru perlu membimbing pelajar untuk belajar menerima pendapat orang lain.
Kesimpulannya, perkembangan kanak-kanak sangat penting untuk dipelajari dan di terokai oleh setiap guru dan bakal guru agar mampu menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan mudah difahami.

AMALAN GURU DI DALAM BILIK DARJAH

Pada peringkat awal, murid-murid akan membuat berbagai tanggapan atau persepsi terhadap guru yang akan masuk ke kelas mereka. Mungkin murid-murid sudah tahu tentang latar belakang guru itu secara tidak langsung sebelum ini, kerana mereka sudah dua atau tiga tahun belajar di sekolah ini cuma belum pernah belajar dengannya. Sebaliknya terdapat juga murid langsung tidak tahu tentang guru itu, kerana dia mungkin murid yang baru di sekolah itu atau murid ini hanya tahu guru yang mengajarnya sahaja. Terdapat beberapa amalan yang boleh diamalkan oleh guru semasa berada di dalam bilik darjah, di antaranya: 

Berkenalan dengan murid yang akan diajari adalah suatu amalan yang tidak boleh diabaikan kerana penilaian murid ke atas diri guru pada hari pertama akan diterjemahkan terus ke dalam minda mereka tentang perwatakan guru itu. Murid bertanggapan guru itu garang jika guru itu bermula dengan watak tegas. Murid juga mungkin bertanggapan guru ini boleh dipermainkan kerana perwatakan yang tersangat lembut atau tidak serius.

Semasa inilah guru perlu memainkan peranan yang cukup bijak bagi menawan hati mereka seperti memuji mereka dengan kata-kata yang menggambar guru itu amat sayang kepada mereka. Ketika itu juga guru berusaha dengan kata-kata bersemangat dan menampakkan kesungguhan untuk menjadikan mereka murid yang berjaya, murid yang baik, murid yang memiliki keyakinan diri yang tinggi. 

Selain itu, guru juga perlu memperincikan bahan-bahan yang perlu disediakan oleh mereka dan bahan yang akan disediakan oleh guru sendiri supaya murid mengetahui bahawa gurunya bersedia untuk mengajar mereka. Jika sekiranya menjadi guru kelas berkenaan maka kesediaan guru untuk menjadikan kelas ini lebih ceria dan menarik menjadikan murid-murid berkeyakinan terhadap gurunya itu.

Mengenali nama setiap murid di kelas tersebut adalah salah satu amalan yang baik. Murid akan menampakkan lebih mesra jika disebut nama mereka semasa berkomunikasi. Berbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mengingati nama-nama mereka seperti bertanya nama setiap kali hendak bercakap dengan mereka, atau memasukkan foto-foto mereka dalam komputer peribadi untuk diingat setiap hari. Dalam masa yang singkat guru dapat mengingati semua nama mereka.

Di samping itu, guru juga boleh menyatakan beberapa ganjaran yang akan diberikan kepada murid jika mereka bersedia untuk memberi kerjasama semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku atau pencapaian kemajuan murid bertambah baik dari masa ke semasa, seperti berjanji untuk bawa mereka ke tempat perkelahan atau lawatan ke mana-mana atau berjanji untuk menghadiahkan sesuatu. Malah guru sewajar menunaikan janji-janji itu supaya murid tidak kecewa dengan sikap guru yang dianggap berpura-pura itu. 

Seterusnya, guru perlu memahami modul pengajaran dan pembelajaran yang bermula dengan set induksi, perkembangan isi mengikut aras serta menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai, penerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari, rumusan, tugasan dan ulasan kendiri. Sebagai contoh amalan, biasanya apabila loceng berbunyi, guru akan masuk ke bilik darjah berkenaan atau murid-murid datang ke Bilik Pendidikan Islam. Ketika ini guru menunjukkan sikap kesungguhan untuk masuk ke kelas itu, dengan gaya berjalan yang laju serta membawa beberapa bahan yang diperlukan atau menjemput mereka supaya bergerak pantas ke Bilik Pendidikan Islam. 

Apabila melangkah masuk teruskan memberi salam, mereka bangun dan membaca doa dengan ikhlas serta khusyuk merupakan salah satu amalan guru semasa berada dalam kelas supaya mendapat keberkatan Allah SWT sebelum memulakan kelas. Selepas itu, guru meminta mereka bersihkan kelas, kemaskan diri, meja, kerusi, dan apa sahaja yang kelihatan tidak menceriakan sebagai suatu cara untuk mendidik dan memperadabkan mereka sebelum mereka menerima pelajaran.

Guru juga perlu mengamalkan sikap bertanya, seperti ‘apa khabar semua’, ’ada yang sakit atau yang tidak sihat’, ‘siapa yang ada apa-apa masalah’. Pertanyaan-pertanyaan dan kata-kata begini adalah sentuhan awal supaya mereka seronok dengan kedatangan guru itu. Guru memuji dengan perkataan, ‘bagus’ supaya murid merasakan mereka dihargai, dan cuba berjenaka dengan mereka seperti memberi satu teka-teki dan sebagainya.

Seterusnya, guru juga boleh memulakan pelajaran dengan menunjukkan sesuatu, atau menceritakan satu cerita pendek atau apa sahaja sebagai set induksi. Apabila sesuatu tajuk disentuh, guru cuba bertanya tentang beberapa pengalaman mereka yang ada kaitan dengan tajuk berkenaan. Murid-murid membuka buku teks bagi tajuk berkenaan, nota tambahan yang disediakan guru sebagai ‘hand out’, dan kertas A4 untuk dibuat peta minda. Guru juga mempamerkan bahan maklumat melalui ‘slide’ yang di tayang dengan bantuan ‘LCD’ atau menggunakan teknik-teknik yang lain.

Selain itu, guru boleh juga berbincang dengan murid secara bersahaja, tentang tajuk yang dipelajari, murid berbincang sesama mereka, membuat peta minda, bersoal jawab, guru memberi persoalan untuk diselesaikan oleh murid sendiri, murid membuat aktiviti kumpulan, guru membuat penilaian mengikut aras, dan berbagai aktiviti lain yang boleh merangsangkan minat murid. Di samping itu guru sentiasa berjenaka dan memberi perangsang serta memuji sebagai penghargaan bagi semua kerja yang sedang mereka lakukan. Guru sepatutnya tidak menyampaikan ilmu secara sehala, dari awal hingga akhir kerana teknik ini ternyata membosankan murid. Peranan otak kiri dan otak kanan perlu diseimbangkan. Otak kiri memberi penekanan kepada bahasa, rumusan matematik, logik, urutan, nombor, analisis dan lirik lagu. Otak kanan memberi penekanan kepada bentuk dan corak, manipulasi ruang, imaginasi, angan-angan, dan rentak lagu. Maka peranan guru memastikan kedua-dua otak itu berfungsi dengan baik.

Apabila mereka seronok dengan pembelajaran seperti ini menjadikan mereka terasa masa berada di kelas terlalu sebentar dan kadang-kadang mereka akan terus berada di kelas ini walaupun loceng telah berbunyi kerana kemungkinan selepas ini tiada guru yang datang ke kelas mereka. Amalan guru untuk bermain atau berinteraksi bersama mereka semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan menjadikan mereka semakin berani mengeluarkan berbagai idea secara spontan dan berani bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak faham sebab mereka tidak merasa tertekan dan hati dan perasaan mereka sentiasa tenang. Mereka sendiri memahami apa yang terkandung dalam buku, guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang hanya menekan aspek-aspek tertentu dalam kandungan itu.

Bagi murid-murid yang tidak menguasai bacaan al-Quran, guru boleh menggunakan amalan yang lebih berhemah. Contohnya, menjemput mereka berkumpul di suatu bilik yang tidak disertai oleh murid-murid lain. Guru memberi semangat, perangsang, serta menceritakan kelebihan-kelebihan apabila boleh membaca al-Quran.

Guru boleh meminta pandangan mereka tentang cara yang kehendaki supaya mereka boleh mereka lakukan dan matlamatnya mereka boleh membaca al-Quran. Guru juga memberi cadangan, misalnya, guru memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh membaca al-Quran jika mereka mengikuti teknik dan kaedah yang akan di bawa oleh gurunya itu tetapi mereka hendaklah melakukan latihan berterusan di rumah atau di luar bilik darjah. Gabungan kaedah Iqrak, Qiraati dan Hattawiyah boleh digunakan tetapi guru hendaklah sentiasa memantau perkembangan mereka dengan memberi galakan, pujian, ganjaran, penghargaan berterusan. Murid-murid ini kadang terasa malu disebabkan kelemahan mereka. 

Oleh itu guru tidak perlu menggunakan kaedah yang menyebabkan mereka menjadi malu, seperti menyuruhnya membaca dengan kuat di hadapan kelas, sebaiknya mereka di bawa ke tempat lain atau membaca dalam kumpulan yang sama atau membaca secara beramai-ramai.

Jika mampu, guru patut selalu berjumpa mereka untuk berbincang dan sekali sekala jemput mereka makan di kantin dan sebagainya supaya mereka dapat merasai bahawa guru itu benar-benar untuk membantu mereka menguasai bacaan al-Quran. Setelah mereka berjaya membaca maka berilah penghargaan berupa sijil di perhimpunan sekolah. Apabila mereka merasakan seronok membaca al-Quran maka mereka akan berusaha untuk mendekatinya lebih jauh lagi. Di samping galakan dan motivasi guru yang berterusan. Dengan wajah keriangan yang ditunjukkan oleh guru, serta menampakkan kesayangan guru itu terhadap murid, menjadikan mereka terasa bersalah jika mereka tidak mendengar nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh guru.

Guru juga hendaklah menunjukkan ketegasan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, tetapi ketegasan itu dilakukan dengan senda gurau, sambil mengenakan sedikit denda terhadap mereka, dan mereka bersedia untuk menerima dengan lapang dada seperti menarik sedikit telinga sebagai menandakan guru tidak gemar dengan perlakuan tersebut. Murid yang sememangnya sayang kepada gurunya itu, dengan cepat memohon maaf, dan guru terus maafkan dan letakkan tangan di belakang mereka atau memuji mereka supaya mereka tidak merasakan sesuatu yang boleh menjejaskan penumpuan terhadap pelajaran yang sedang dihadapi itu. Denda atau hukuman yang boleh menjatuhkan maruah mereka sepatutnya dielakkan supaya murid berkenaan tidak tertekan.

Kebiasaannya guru berhadapan dengan masalah apabila berada di kelas yang terlalu lemah dan kemungkinan terdapat empat atau lima murid yang tidak boleh membaca dengan baik dan yang lain pula bersikap malas, suka ponteng, tidak suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru, suka tidur dan sebagainya menyebabkan guru terasa bosan untuk berhadapan dengan mereka. Sebagai guru yang telah diberikan amanah untuk mengajar di kelas yang berkenaan seharusnya mencari amalan yang boleh meningkatkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk mengikuti pelajaran yang sedang diajar.

Kesimpulannya, bagi melaksanakan tugas yang mencabar ini, guru tidak boleh mengamalkan sikap mengeluh dan merasa kecewa jika usaha-usaha yang dijalankan menemui kegagalan. Usaha dan ikhtiar yang berterusan mengikut pendekatan-pendekatan yang difikirkan wajar hasil daripada kreativiti dan inovasi serta komitmen guru yang tinggi. Kepuasan bagi seorang itu ialah apabila ramai murid yang diajar mencapai kejayaan. InsyaAllah dengan doa dan harapan, usaha yang disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan mendapat keberkatanNya jua.


Implikasi FPK Terhadap Sistem Pendidikan Negara


IMPLIKASI TEHADAP KURIKULUM

Apabila suatu falsafah itu dijalankan, maka terdapatlah implikasi yang berkemungkinan baik dan juga buruk bagi satu-satu institusi pendidikan. Antaranya ialah dari segi kurikulum. Seperti yang kita tahu, kurikulum di sekolah mengalami perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan kepada program bersepadu. Setiap sekolah menerima sukatan pelajaran yang sama dan selaras. Ini kerana mengelakkan dari berlakunya sifat iri hati di kalangan pelajar kerana setiap sekolah belajar mengikut sukatan yang berlainan. Ini adalah bersalahan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang seimbang. 

Bahan-bahan pelajaran yang dibekalkan juga diserapkan di dalamnya nilai-nilai murni dengan tujuan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan juga diubah menjadi pendidikan yang umum. Semua rakyat mampu untuk ke sekolah tetapi berlainan pada zaman dahulu hanya golongan berada sahaja yang mampu untuk ke sekolah. Pelajaran untuk melatih pelajar mahir dalam teknologi pula diserapkan bagi membawa Malaysia ke arah yang maju dan tidak ketinggalan. 

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIK

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menggalakkan guru memahami sistem pendidikan selain daripada membimbing guru melaksanakan fungsi pendidikan. Ia boleh diperolehi di mana-mana dan bila-bila diperlukan. Guru boleh menjadi ejen perubahan untuk mendidik dan mengeluarkan generasi yang bertanggungjawab membantu merealisasikan matlamat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020. Guru mendedahkan sesuatu kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam ICT untuk membolehkan pelajar mengikuti perubahan sistem pendidikan yang berteraskan teknologi. 

Guru mempunyai sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjadi guru yang baik, sentiasa cuba berlatih dan mendapatkan apa yang telah dipelajari untuk memenuhi matlamat dan aspirasi falsafah ini. Pada masa yang sama guru bertindak sebagai pengawal kepada aktiviti negatif. Guru memperkembangkan dan memperkayakan pendidikan melalui perkembangan kurikulum bilik darjah, seperti, menjalankan aktiviti dan lembaran kerja yang diusahakan oleh guru.

IMPLIKASI TERHADAP INSTITUSI PENDIDIKAN

Institusi pendidikan juga mengalami perubahan demi untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Pelbagai perubahan telah dilakukan. Kemudahan-kemudahan di sekolah diubah dan ditambah supaya pelajar mampu untuk memperkembangkan kemahiran mereka dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ini adalah untuk melahirkan individu yang sempurna dan seimbang. Budaya di sekolah juga diubah untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam diri pelajar supaya saling bekerjasama, toleransi dan mengamalkan sikap perpaduan. 

Ini adalah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan individu yang mampu untuk menyumbangkan keharmonian kepada negara. Suasana di sekolah juga diubah untuk melahirkan pelajar yang cintakan ilmu dan membentuk budaya membaca di kalangan mereka. 

Elemen-Elemen Dalam Falsafah Pendidikan Negara


Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, muka surat 385, elemen bermaksud sesuatu yang menjadi bahagian dalam keseluruhan unsur. Pendek kata, elemen amat penting bagi sesuatu perkara supaya objektif yang terkandung didalamnya dapat dilaksanakan dan juga perkara tersebut dapat dijalankan dengan teratur.  Terdapat pelbagai elemen yang dapat dikenalpasti dalam Falsafah Pendidian Kebangsaan antaranya ialah:-

Pendidikan suatu usaha yang berterusan

Pendidikan merupakan satu proses pemerolehan dan peminahan ilmu secara berterusan. Tambahan pula, proses ini termasuk juga apabila individu mengakses dan juga dapat mengaplikasikan pemerolehan ilmu tersebut dalam aspek kemahiran dan juga nilai-nilai murni yang sering diajar secara formal dan juga secara tidak formal. Pendidikan merupakan suatu usaha berterusan, seperti yang dituntut dalam Islam, sebagaimana di dalam sepotong hadith: "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad." Untuk pengetahuan semua, proses ini berlaku secara berterusan daripada individu tersebut kecil sehingga ke akhir usianya. 

Proses ini diterapkan ke dalam konsep pembelajaran moden, iaitu 'Pembelajaran Sepanjang Hayat' ataupun lebih dikenali sebagai 'Long-Life Learning'. Tambahan pula, pendidikan awal kanak-kanak yang setiap individu terima adalah sangat penting kerana pendidikan ini bertujuan untuk membentuk asas sahsiah dan akhlak kanak-kanak ketika masih didalam lingkungan usia antara satu sehingga enam tahun.  

Tambahan pula, sahsiah yang dibentuk ini akan terus berkembang sehingga tamat persekolahan dan apabila sesi persekolahan tamat, setiap individu masih meneruskan peningkatan ilmu yang diperolehi, kemahiran yang dipelajari dan juga peningkatan dalam akhlah dan juga sahsiah mereka. Proses-proses yang berlaku ketika individu membesar seperti proses pendidikan adalah amat penting supaya individu dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dan juga pelbagai situasi yang bakal ditempuhi di hari-hari mendatang. 

Perkembangan potensi individu

Setiap individu ini telah dikurniakan potensi, bakat dan juga kebolehan yang dapat dilihat secara langsung dan juga perlu dicungkil. Potensi merupakan satu elemen yang perlu dicungkil, diasah dan juga dikembangkan oleh individu lain dari semasa ke semasa ataupun secara berterusan. 

Setiap individu mempunyai potensi diri, bakat dan juga kebolehan yang berlainan dan perkara-perkara ini perlu dicungkil, diasah, dipupuk dan juga perlu dikembangkan oleh individu yang lain. Potensi setiap individu merangkumi dua aspek yang penting iaitu daripada segi luaran iaitu jasmani dan juga daripada segi dalaman iaitu rohaniah. Contohnya, guru memainkan peranan penting untuk mencungkil, mengasah dan juga memperkembang potensi para pelajarnya supaya individu lebih yakin pada diri sendiri dan juga lebih berani apabila berdepan dengan masyarakat. 

Selain itu, potensi dan bakat ini juga dapat dicungkil dan menjelma melalui interaksi sosial antara individu dengan individu yang lain. Contohnya apabila kita berinteraksi dan berbincang dengan orang lain. Daripada situ, kita dapat lihat bahawa pelbagai cara boleh kita aplikasikan bagi bakat dan potensi seseorang individu dapat diperkembangkan dan juga dapat diasas sehingga ianya dapat disesualkan dengan diri individu. Proses pendidikan adalah penting dan proses ini seharusnya memberi peluang kepada setiap individu untuk memperkembangkan potensi diri mereka sendiri. 

Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu

Seperti yang kita tahu, bakat, potensi dan juga kebolehan memang tidak boleh dipisahkan serta ianya perlu dikembangkan secara bersama. Sebaliknya, bakat, potensi dan juga kebolehan perlu dikaitkan dan juga perlu diselaraskan supaya ketiga-tiga unsur ini dapat berkembang selari dan tidak akan ada pertentangan antara satu sama lain. Tambahan pula, ia juga menggabungkan aspek nilai-nilai murni dan norma-norma hidup masyarakat yang positif.  

Antara aspek-aspek yang terlibat dan yang merangkumi dalam perkembangan dan peningkatan individu adalah daripada aspek intelek, rohani, jasmani, emosi dan juga sosial. Potensi dan juga kebolehan yang dimiliki setiap individu ini adalah sangat penting kerana ia berupaya untuk memenuhi keperluan asas manusia semasa hayatnya dikandung badan seperti makanan, minuman, pembuangan sisa-sisa kotoran, waktu rehat dan juga pelbagai lagi. 

Insan yang harmonis dan seimbang

Insan yang seimbang sering member penekanan kepada keseimbangan dari segi rohaniah iaitu dalaman setiap individu dan juga dari segi jasmaniah iaitu sifat luaran setiap individu yang berbeza. Bagi melahirkan insan yang harmonis dan juga seimbang adalah amat penting individu tersebut memiliki ciri-ciri yang amat penting. Antaranya adalah apabila individu tersebut memiliki ilmu yang diambil kira daripada aspek intelek. Individu tersebut perlu menuntut ilmu sebanyak yang mungkin supaya dapat membezakan keburukan dan juga kebakan yang individu alami dalam kehidupan. Selain tu, individu tersebut juga perlu mempunyai sahsiah yang baik. 

Keadaan ini boleh kita lihat dari aspek emosi seseorang individu. Ianya sangat penting kerana individu dapat seimbangkan emosinya dan juga menjaga sahsiahnya. Tambahan pula, individu yang seimbang juga perlu percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik dan juga mulia. Individu perlu menjaga dengan baik kepercayaannya kepada Tuhan kerana dari segi rohani, ia amat penting dan menggambarkan seseorang akan keperibadiaannya serta ia dapat mewujudkan hubungan yang baik antara individu dengan Penciptanya. Selain itu, individu perlu mempunyai dan menjaga kesihatan diri yang baik dari segi jasmaninya kerana ianya adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada individu untuk melaksanakan kewajipan yang diperintahkn dan meninggalkan larangannya. Selain itu, kita perlu jaga akan kesihatan kita supaya kita dapat melakukan aktiviti dengan lancar kerana apabila kita jatuh sakit dan tidak menjaga kesihatan kita, aktiviti seharian kita akan tertangguh dan keadaan ini akan mendatangkan kesusahan kepada diri kita sendiri. 

Keempat-empat aspek yang telah dinyatakan diatas boleh dan dapat menghasilkan individu yang mampu untuk hidup secara harmonis dan juga dapat melahirkan insan yang bertanggungjawab, berpengetahuan, berdisiplin dan juga insan yang sentiasa membantu orang lain. Tambahan pula, individu yang seimbang ini akan berusaha untuk memajukan dirinya sendiri, bangsa dan juga negara. Individu ini juga memiliki sistem ketahanan dan juga memiliki jati diri yang tinggi untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa sahaja masalah yang timbul dalam kehidupan. 

Unsur intelek
Bagi elemen ini iaitu unsur intelek memberi banyak penekanan terhadap proses pembelajaran. Setiap individu perlu mempunyai dan berupaya serta menguasai kemahiran asas bagi proses ini iaitu 3M. Program 3M ini merangkumi membaca, mengira dan juga menulis. Objektif bagi program ini dijalankan terutamanya di peringkat awal pendidikan adalah untuk membasmi masalah buta huruf yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya masyarakat peribumi. 

Individu perlu dan sering berusaha untuk memperoleh, memperkembang dan juga meningkatkan ilmu pengetahuan.  Tambahan pula, individu juga perlu mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif, kritikal dan juga reflektif. Individu juga perlu berusaha untuk memperkembangkan daya pemikiran dengan mengkaji, menganalisis dan mengemukakan idea-idea yang bernas. Selain itu, individu juga perlu menjadi seseorang yang sanggup untuk berkongsi ilmu yang sedia ada bersama-sama orang lain dan persekitarannya atau kata lainnya adalah menyebarluaskan ilmu. Ini kerana ilmu yang dikongsi dan diperolehi dapat individu lain aplikasikannya dan ilmu tersebut bermanfaat kepada masyarakat dan juga negara untuk dikembangkan atau dinaiktarafkan pada masa akan datang.

Unsur rohani

Rohani selalu dikaitkan dengan dalaman setiap individu. Ini termasuk dengan sahsiah oleh setiap individu. Kita dapat lihat bahawa individu mempunyai sahsiah yang berlainan dan mempunyai kepercayaan sendiri.  Unsur rohani ini merangkumi beberapa ciri-ciri yang melibatkan individu. Pertama sekali adalah, individu perlu sedar akan kewujudan Pencipta ataupun Yang Maha Kuasa di dunia ini kerana tanpaNya kita mungkin tidak akan hidup sekarang.  

Individu perlu menyedari dan mempercayai kepada-Nya sentiasa. Tambahan pula, individu perlu menyemai rasa bersyukur dan berterima kasih diatas segala kurniaan, nikmat dan pemberian yang telah diberi kepada kita seperti rezeki, kemewahan dan sebagainya. Kita sebagai individu tidak boleh berasa bongkak, riak dan juga sombong diri jika kita mempunyai kelebihan daripada individu lain kerana kelebihan itu adalah kurniaan Allah. Jika kita berkelakuan seperti itu, tidak mustahil jika kelebihan kita itu akan ditarik balik secara terus ataupun secara perlahan-lahan oleh-Nya. 

Selain itu, sebagai individu, kita perlu memiliki akhlak yang tinggi dan mulia serta kita dapat mendisiplinkan diri dan berpegang kepada nilai-nilai murni bagi menjaga diri apabila berada dimana-mana sahaja.

Unsur emosi

Individu perlu mempunyai emosi yang stabil supaya matang dalam membuat sebarang keputusan dan bagi melakukan sesuatu pekerjaan. Jika emosi kita tidak stabil, kita tidak akan dapat membuat sesuatu perkara dengan terbaik. Contohnya apabila seorang guru mempunyai emosi yang tidak stabil, guru tersebut akan senantiasa memarahi anak muridnya. Perkara ini seharusnya tidak terjadi apabila kita mempunyai dan pandai mengawal emosi kita.

Tambahan pula, unsur ini menjadikan kita seorang individu yang memiliki dan boleh memupuk perasaan kasih sayang. Apabila timbul perasaan kasih sayang, kita akan sentiasa menjaga antara satu sama lain dan dari situ wujud semangat kekitaan yang menekankan kepada kerja berkumpulan dan juga akan timbul konsep bekerjasama antara satu sama lain. Selain itu, individu akan berupaya untuk menghayati keindahan dan juga kesenian yang wujud dalam sesuatu benda. Dari sini, maka tersemailah nilai estetika dalam individu tersebut. 

Unsur jasmani
Unsur jasmani adalah unsur yang amat penting dan kita perlu bersyukur kepada Allah kerana ini adalah salah satu nikmat yang diberikan kepada makhluknya seperti kita. Seperti yang kita tahu, unsur jasmani menekankan kepada individu supaya memiliki tubuh badan yang sihat melalui pelbagai cara seperti melakukan senaman. Individu juga perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran teknikal, 

kemahiran manipulatif dan juga kemahiran sosial supaya dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. Selain itu, individu juga dapat mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Tambahan pula, individu perlu sedar akan kepentingan bagi menjaga kesihatan sama ada luaran dan juga dalaman.  Individu perlu sedar akan kepentingan ini kerana ini merupakan nikmat yang perlu kita gunakan dengan sebaik-baiknya. Apabila kita sebagai individu sihat dari segi jasmani, kita dapat menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan kita dan masyarakat sekeliling. 

Daripada aktiviti seperti itu. Kita dapat pupuk semangat berdikari dalam setiap individu dan juga semangat bekerjasama antara individu dalam satu kelompok masyarakat. Ini kerana individu dapat menggunakan kecerdasan fizikal yang dimiliki bagi membantu masyarakat selain daripada memberi manfaat kepada dirinya sendiri. 

Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan

Tuhan merupakan Pencipta kepada makhluknya yang wujud di alam fana ini. Kita sebagai makhluk dan juga individu wajib mengakui akan kewujudan Tuhan. Maksudnya setiap individu perlu mempunyai agama dan seterusnya mempercayai akan agama yang dianuti itu dan Penciptanya. Ini kerana demi kebaikan individu itu sendiri supaya dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk akan peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan. 

Individu juga perlu mengakui bahawa Tuhan yang telah mewujudkan alam ini dan seterusnya yang bertanggungjawab mengatur segala proses kehidupan yang berlaku di alam ini. Individu juga perlu menyedari bahawa segala yang ada di alam ini seperti hukum-hukum dan juga fenomena alam merupakan antara peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Kita sebagai individu telah diamanahkan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi dan juga sebagai pemegang amanah serta menerima tanggungjawab dari Tuhan untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin mengikut tahap kita. Tambahan pula, individu perlu menyedari bahawa segala perbuatan yang dilakukan di alam ini adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 

Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

Ilmu pengetahuan amat penting bagi setiap individu untuk memajukan diri mereka sendiri. Mereka perlu melalui proses pembelajaran secara formal dan juga secara tidak formal bagi membolehkan mereka memperoleh ilmu dan seterusnya mereka dapat mengembangkan bakat yang mereka perolehi sama ada bakat yang telah terserlah ataupun bakat yang terpendam. Tambahan pula, kita perlu menjadi rakyat Malaysia yang cinta akan ilmu pengetahuan dan individu sepatutnya menanamkan usaha ke arah mempertingkatkan ilmu pengetahuan. 

Tambahan pula, rakyat  Malaysia perlu dan berusaha untuk memupuk budaya ilmu dan menjadikan sebagai budaya membaca. Rakyat Malaysia perlu menjadikan sikap membaca ini sebagai jambatan ilmu kerana kita perlu mencari dan juga mendapatkan maklumat serta pengetahuan yang baru untuk diri sendiri dan juga kepada masyarakat. Individu sebagai rakyat Malaysia perlulah mempunyai fikiran yang terbuka, luas dan juga berfikiran positif. Individu perlu memanfaatkan segala ilmu yang telah diperoleh untuk dikongsi dengan diri sendiri serta bersama dengan masyarakat sekeliling. 

Rakyat Malaysia yang berketrampilan

Rakyat Malaysia  perlu menjadi seorang individu yang berketerampilan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, keterampilan bermaksud kecekapan, kemampuan yang tinggi. Maksudnya ia bukan sekadar kemampuan cukup makan, tetapi lebih daripada itu. Daripada situ, individu boleh mempunyai kecekapan dan juga mempunyai kompetensi diri yang dapat dikembangkan dari semasa ke semasa. Tambahan pula, apabila individu menjadi seorang yang berketerampilan, maka individu dapat dan menjadi seorang yang berkebolehan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan sempurna kerana individu mempunyai dan juga memiliki kemahiran, pengetahuan dan juga kelayakan yang setaraf dengan dirinya. 

Apabila individu menjadi seorang yang berketerampilan, individu tersebut dapat dan boleh berpandangan jauh serta mempunyai inisiatif sendiri dalam melakukan perkara dan juga menyelesaikan sesuatu masalah. Daripada itu, individu akan lebih mudah untuk melakukan tugas yang telah diamanahkan dengan lebih cekap dan teliti serta individu akan mempunyai pembawaan diri yang positif dan masyarakat akan dengan penyesuaian diri kita. 

Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia

Akhlak merupakan satu perkara yang amat penting dan akhlak ini yang akan mencerminkan individu tentang pembawaan dirinya walaupun berada di mana sahaja. Dalam FPK, amat menitikberatkan tentang rakyat Malaysia yang mempunyai akhlak yang mulia dan baik. Apabila mempunyai akhlak yang baik, ini bermakna individu mempunyai perwatakan diri dan juga memiliki budi pekerti yang baik dan mulia serta mudah untuk bergaul bersama-sama masyarakat sekeliling. Individu perlu menghayati dan juga berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral seperti nilai-nilai kerohanian dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia sebagai prinsip hidup.  Tambahan pula, dengan akhlak, setiap individu dapat membezakan nilai-nilai yang baik dan juga nilai-nilai yang buruk. Individu juga dapat mengaplikasikan kesemua ini dalam hidupnya dan seterusnya memiliki kehidupan yang lebih baik. 

Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab

Tanggungjawab merupakan satu aspek yang penting dalam diri setiap individu yang perlu diberi penekanan bagi melaksanakan dasar yang terlibat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, individu perlu memainkan peranan dan mengambil tahu akan tanggungjawab masing-masing sebagai ahli masyarakat. Pertama sekali ciri-ciri yang perlu ada dan sangat ditekankan bagi melaksanakan elemen yang ini adalah menjadi seorang individu yang boleh dipercayai. Apabila kita  menjadi seorang yang boleh dipercayai, maka kita senang untuk melaksanakan apa sahaja perkara. 

Tambahan pula individu juga perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama yang dianuti dan juga negara yang didiami. Setiap kelompok ini menjadikan individu mempunyai tanggungjawab yang berlainan dan setiap tugas serta tanggungjawab yang telah diberikan oleh setiap kelompok ini merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik serta bersungguh-sungguh. Setiap tugas dan juga tanggungjawab yang telah diamanahkan perlu dijalankan dan dilaksanakan dengan cekap, penuh dedikasi, amanah dan juga bersih tanpa ada unsur-unsur yang haram seperti riba’ bagi meningkatkan produktiviti negara pada masa yang mendatang. Apabila suatu tanggungjawab dijalankan dengan baik, perlulah individu mematuhi segala peraturan dan juga undang-undang yang telah termaktub di dalam undang-undang negara. 

Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri

Dalam elemen ini, rakyat Malaysia perlu mempunyai keupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri mereka. Bagi mencapainya, individu perlulah mempunyai fikiran yang waras iaitu masih boleh berfikir dan juga dapat membezakan baik dan juga buruk sesuatu perkara. Selain itu, individu juga perlulah mempunyai jiwa yang tenang supaya segala perkara yang dilaksanakan dapat mencapai objektif masing-masing. Individu-individu yang ditekankan dengan ciri-ciri di atas perlu mempunyai daya ketahanan fizikal dan juga mental yang kuat serta tinggi untuk menghadapi liku-liku dan cabaran hidup yang kini semakin mencabar. 

Tanpa daya ketahanan ini, kemungkinan untuk individu melangkah ke hadapan bagi mengharungi liku-liku dan cabaran hidup ini agak sukar dan menyulitkan keadaan masing-masing. Pendek kata, individu yang mempunyai akal yang waras, usaha yang gigih dan mempunyai tujuan yang jelas akan dapat mencapai apa sahaja yang dicita-citakan dan juga apa sahaja perkara yang ingin dilaksanakan. 

Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

Bagi elemen ini, individu sebagai rakyat Malaysia perlu berusaha untuk memupuk semangat perpaduan diantara rakyat negara dan individu perlu berusaha untuk mengekalkan kestabilan dan juga kemakmuran negara melalui nilai-nilai murni, sifat toleransi, individu juga perlu bertimbang rasa, mempunyai semangat kekitaan, individu juga perlu saling hormat antara satu sama lain dan sebagainya lagi yang dapat individu lakukan bagi menjadi rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan juga kemakmuran masyarakat dan negara. 

Pada masa yang sama, individu perlu mematuhi norma masyarakat yang wujud pada hari ini dan jangan sesekali kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma-norma ini. Disamping itu, kita juga perlu wujudkan persefahaman dalam suatu kelompok masyarakat supaya kita boleh lebih menerima norma masyarakat tanpa ada sebarang masalah. Tambahan pula, individu juga perlu berusaha untuk memajukan ekonomi negara dengan mempraktikkan dan mengaplikasikan penggunaan sains dan juga teknologi moden yang bersesuaian dengan era dan masa kini. Selain itu, individu juga perlu meningkatkan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar yang telah ditetapkan sejak awal lagi seperti Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai lagi. Individu yang terlibat dalam pemerintahan sesuatu kerajaan perlu mencari inisiatif dan cuba untuk menjadikan politik di negara dalam keadaan yang stabil. 

Disamping itu, individu juga perlu mematuhi segala perlembagaan dan juga semua peraturan dan akta yang termaktub dalam perlembagaan negara supaya individu dapat memakmurkan negara, individu perlu menghayati Rukun Negara dengan sepenuh jiwanya. Individu juga perlu menjadikan Rukun Negara ini sebagai satu amalan yang dilakukan dan diadaptasikan dalam kehidupan seharian. 

sempoga bermanfaat

Faktor-Faktor Pembentukan Falsafah Pendidikan Negara


Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dibentuk mengandungi idea dan pandangan yang rasional terhadap pendidikan. Fungsi asas falsafah pendidikan ialah memberi panduan dan haluan kepada pakar pendidikan untuk merancang atau mereformasikan sistem pendidikan berlandaskan idea, konsep dan matlamat pendidikan negara kita Malaysia pada masa akan datang. 

Tambahan pula, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal secara rapi dan sangat teliti oleh pakar-pakar pendidikan dengan mengambil kira pelbagai aspek supaya falsafah ini dapat memanfaatkan pelbagai pihak seperti individu, masyarakat dan juga negara kita sendiri iaitu Malaysia. Bagi menggubal Falsafah Pendidikan Kebangsaan  yang boleh memberi panduan dan bimbingan yang manfaat kepada segala usaha pendidikan, beberapa faktor yang berkaitan hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu. Antara faktor-faktor yang terlibat adalah:-

  • Faktor Agama

Agama merupakan elemen yang penting bagi sesebuah negara untuk berkembang maju ke hadapan. Di negara kita iaitu Malaysia telah menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan masyarakat di negara ini kebanyakannya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.  Di samping itu, terdapat juga agama lain yang boleh dianuti oleh masyarakat di negara ini seperti agama Kristian, agama Buddha, agama Hindu dan juga sebagainya. 

Agama-agama ini adalah bebas dianuti oleh masyarakat Malaysia dan mengikut undang-undang negara, agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan tapi tidak ada paksaan bagi individu menganuti agama tersebut. Agama-agama ini, khasnya agama Islam merupakan faktor-faktor yang penting sebagai pertimbangan asas dalam proses penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK). Unsur agama ini dapat dihayati daripada pernyataannya, iaitu “mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dan segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan....”

  •  Faktor Sosial

Seperti yang kita sendiri tahu bahawa Masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat  berbilang kaum. Tambahan pula, keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia bergantung kepada amalan sikap toleransi, bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap-sikap yang positif ini amat penting bagi mengeratkan lagi perpaduan kaum dan ini merupakan aspek yang penting supaya keadaan sosial menjadi stabil antara masyarakat Malaysia.Tujuan mencapai perpaduan kaum telah menjadi salah satu matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu: “...melahirkan rakyat Malaysia...memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

  • Faktor Politik

Falsafah pendidikan kebangsaan telah digubal berlandaskan idea negara yang telah mencerminkan dalam dokumen-dokumen yang rasmi. Antara dokumen rasmi tersebut adalah Rukun Negara, Rancangan Malaysia dan sebagainya. Pengaruh politik memainkan peranan yang penting dalam menentukan dasar pendidikan kebangsaan. Sehubungan ini, matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi pertimbangan asas dalam penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat ini dapat diperlihatkan daripada pernyataan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam pengaruh faktor sosial iaitu: “...melahirkan rakyat Malaysia.... berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara...”

  • Faktor Ekonomi

Faktor ini banyak mempengaruhi matlamat pendidikan dalam usaha membawa pembangunan dan kemajuan negara. Ini kerana jika ekonomi tidak stabil, maka aktiviti dan juga perjalanan bagi melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat dijalankan dengan teratur dan teliti. Pelbagai aktiviti yang dijalankan bertujuan bagi menjadikan rakyat Malaysia supaya lebih terlatih dan mempunyai ilmu pengetahuan tentang pelbagai kemahiran yang boleh didapati ketika belajar supaya dapat membantu negara Malaysia memperkembangkan ekonomi dengan meningkatkan daya pengeluaran oleh tenaga kerja yang mahir. Cita-cita memperkembang ekonomi Malaysia telah menjadi salah satu matlamat pendidikan negara yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara iaitu: “...melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri...”

  • Faktor Individu

Individu merupakan insan yang dapat dikembangkan mindanya dan juga mempunyai potensi yang tersendiri berdasarkan kemampuan diri. Melalui proses pendidikan, potensi individu dapat dikembangkan dan potensi ini merangkumi aspek-aspek intelek, rohani emosi dan juga jasmani. Apabila potensi-potensi ini dapat dikembangkan secara berterusan dan menyeluruh, maka lahirlah seorang individu yang seimbang dan harmoni daripada pelbagai aspek.  Individu yang seimbang dan harmoni sentiasa mengamalkan sikap bersyukur, sentiasa menikmati ketenteraman jiwa serta bersedia menghadapi cabaran hidup dengan tenang. Cita-cita melahirkan individu yang seimbang dan harmonis merupakan pernyataan utama dalam kandungan Falsafah Pendidikan Negara iaitu: “…memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani…”

  • Faktor Sejagat

Penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula tidak terpisah daripada pengaruh perkembangan sistem pendidkan antarabangsa. Sehubungan itu, idea-idea yang dihasilkan daripada seminar pendidikan antarabangsa pula membawa pengaruhnya ke atas Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu: “..Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh...” Warganegara yang berketerampilan dan berilmu pengetahuan dapat direalisasikan andainya diberi pendedahan awal tentang kepentingan ilmu semasa di sekolah lagi. Oleh itu, sistem pendidikan di Malaysia perlu merangkumi aspek sejagat yang boleh melahirkan warganegara yang bertaraf antarabangsa setaraf dengan negara maju yang lain.

semoga bermanfaaat


Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan FPN


Peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh  ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Tambahan pula, di sekolah juga bakat serta potensi murid-murid dapat diasah dan juga dicungkil seterusnya diperkembangkan untuk masa hadapan murid-murid. 

Pihak pengurusan sekolah perlu memainkan peranan yang penting bagi memperkembang lima aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek, aspek rohani dan juga aspek jasmani murid-murid ketika di sekolah. Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah, keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap, keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan sekolah.  Di Sekolah Sekolah Kebangsaan Sri Labis, Labis mempunyai tukang kebun yang sentiasa menjaga kebersihan sekolah dan kawasan sekolah sentiasa kelihatan bersih dan cantik. Ketika saya berada di sekolah, kebersihan sekolah sangat memuaskan dan tukang kebun sangat peramah dengan semua guru. 

Selain kebersihan sekolah, keselamatan anggota dan juga sekolah juga dijaga dan dititikberatkan. Terdapat beberapa orang yang bertugas sebagai pengawal disekolah dan juga terdapat satu pondok pengawal di hadapan pintu masuk utama kawasan sekolah. Pengawal sekolah tidak sombong dan apa sahaja pertanyaan kita akan dijawab dengan elok dan juga sopan. Tambahan pula, kebanyakan kemudahan disediakan dengan baik.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan. Selama berada di SK Sri Labis, Labis  anggota sekolah sangat menjaga pergaulan dan peramah dengan pelawat seta tidak sombong. 

Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-program akademik seperti Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca dalam diri murid-muridnya. Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. 

Seterusnya adalah aspek rohani. Aspek ini juga penting bagi anggota sekolah untuk mengamalkannya. Kita dapat lihat apabila sukatan pelajaran bagi sekolah rendah mempunyai mata pelajaran agama islam. Mata pelajaran ini dapat memberi banyak ilmu dan dapat menyedarkan murid-murid dan membuatkan mereka supaya percaya dengan kewujudan Allah serta bersyukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Tambahan pula, murid-murid di sekolah perlu ditanamkan dalam diri mereka nilai-nilai murni supaya mereka lebih menghormati antara satu sama lain dan dapat menjalinkan hubungan yang baik antara sesama manusia.

Aspek yang terakhir adalah aspek jasmani. Pihak sekolah perlu terapkan aspek ini dalam kalangan murid-murid sekolah supaya mereka akan sedar tentang kepentingan kesihatan fizikal mereka. Tambahan pula, mata pelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan telah diajar di sekolah rendah. Contohnya setiap tahun, sukan tahunan perlu dijalankan memenuhi keperluan pendidikan. Tambahan pula daripada sukan, guru-guru dapat mencungkil, mengembangkan dan juga mengasah bakat serta potensi yang terpendam dalam diri murid-murid. 


Konsep Dan Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Fpk)


Konsep Dan Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Fpk) 

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Pada amnya, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan juga bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara. 

Falsafah Pendidikan Kebagsaan ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan hala kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan. Sehubungan ini, FPK adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan yang mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan atas Laporan dan Akta Pendidikan, Rukun Negara dan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Malaysia, maka FPK yang dinyatakan berikut digubal dan diumumkan secara rasmi pada tahun 1988.

Berlandaskan kepada FPK yang telah dihuraikan diatas, maka matlamat pendidikan negara ialah bertujuan melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna. Dengan perkataan lain, matlamat pendidikan negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:
  • Percaya dan patuh kepada Tuhan.
  • Berilmu pengetahuan.
  • Berakhlak mulia.
  • Bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
  • Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
  • Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.




Contoh Kertas Kerja BIG





INSTITUT PENDIDIKAN GURU (IPG)
KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN
KUALA LIPIS, PAHANG

Contoh Refleksi Lengkap BIG ( bina insan guru )


SELASA, 24.4.2012

Pada tarikh ini, semua pelajar PISMP sem 3  tahun 2012 melalui  `Bengkel Etikat dan Sosial di dewan kuliah A. Bengkel ini bermula dari pukul 8 mlm dan berakhir pada  pukul 11 mlm. Bengkel ini disampaikan oleh Encik Ahmad Yani Bin Mat Yusof iaitu Ketua Unit Kokurikulum IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan. Beliau menerangkan tentang pelbagai perkara contohnya maksud etika, protokol dan bagaimana etika dan protokol di  dalam sesuatu majlis. Antara perkara yang diberitahu oleh beliau adalah,  Protokol berasal daripada perkataan Yunani iaitu “protos” yang bermakna yang “pertama” dan “kolla” bermaksud “pelekat”. Zaman dahulu protokol merujuk kepada sehelai kertas yang ditampalkan kepada suatu dokumen ataupun undang – undang untuk memastikan kesaktiannya. Zaman sekarang protokol boleh merujuk kepada         “ peraturan” bagi sesuatu majlis rasmi ataupun bukan rasmi.

Protokol yang diterangkan oleh beliau melibatkan pelbagai aspek, contohnya Jawatankuasa, Tempat Majlis, Penyediaan Senarai Jemputan, Aturcara Majlis, Kesesuaian Pakaian Dalam Majlis, Penulisan Dan Pengedaran Kad Jemputan, Pemilihan Menu, Susunan Keutamaan, Panggilan Hormat, Susunan Tempat Duduk, Pengacaraan Majlis   Formal, Penyediaan Aturcara  Pentadbiran, Peranan Penyambut Tetamu, Raptai, Persiapan Dewan dan Post-Mortem. Pada pendapat saya, penerangan beliau bagi setiap aspek di atas cukup ringkas tetapi padat. Antara perkara yang titik beratkan oleh beliau adalah pemilihan jawatankuasa. Kata beliau, untuk memilih ahli jawatankuasa, pemilihan perlulah dilakukan dengan bijak kerana kejayaan sesuatu majlis itu terletak kepada kesungguhan dan kebijaksanaan ahli jawatankuasanya.
Di samping itu, beliau juga mengutarakan tentang aturcara majlis. Kata beliau, aturcara majlis haruslah disusun dengan baik mengikut majlis tersebut sama ada Peringkat Antarabangsa, Peringkat Kebangsaan, Peringkat Negeri, Peringkat Daerah  ataupun Peringkat Agensi. Kelicinan pergerakan majlis akan menjimatkan masa dan tenaga semua pihak.

KHAMIS, 26.4.2012
-AWAL-

Kelas saya iaitu PISMP BM1/PJ/PSV bersama-sama dengan kelas PISMP MT dan PISMP PS telah menjalani amali Bina Insan Guru di Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, Cameron Highlands. Tugasan yang kami perlu laksanakan adalah khidmat komuniti dan berfokus kepada membuat mural. Kami tiba di Sekolah lebih kurang jam 10.10 pagi. Kehadiran kami dijemput oleh Guru Besar SKTR iaitu Encik Ismail Bin Abu Bakar (gambar sebelah kiri di atas). Beliau amat mengalu-alukan kedatangan kami ke SKTR. Pihak beliau telah sedia maklum tentang kedatangan dan maklumat tentang tugasan kami di SKTR, oleh itu beliau telah memberi tugasan kepada kami mengikut tiga kumpulan iaitu kumpulan membuat mural, kumpulan mengemas perpustakaan dan kumpulan mengemas bilik seni.

Bilangan kami semua adalah 45 orang. Justeru itu, kami membahagikan 35 orang untuk kumpulan membuat mural, 5 orang untuk kumpulan mengemas perpustakaan dan 5 orang untuk kumpulan mengemas bilik seni. Selepas sarapan iaitu lebih kurang jam 11.15 pagi, kami semua mula bergerak ke tempat tugasan masing-masing.

 Saya mengambil inisiatif untuk terlibat di dalam ketiga-tiga kumpulan. Bagi saya setiap tugasan dan tanggungjawab itu mempunyai manfaat dan pengalamannya yang tersendiri. Oleh yang demikian, saya sebagai bakal guru di masa hadapan, berasa amat rugi sekiranya saya tidak mengambil setiap pengalaman dan manfaat ini. Kesihatan dan tenaga saya pada ketika ini adalah di dalam kondisi yang cukup baik, maka tidak rugi bagi saya mengerah setiap keringat tenaga untuk membuat semua tugasan ini.


-SEMASA -
               
Gambar-gambar di atas menunjukkan tempat mural di buat  ketika proses membuat mural di jalankan. Kami ditugaskan untuk membuat mural di dua bahagian dinding makmal komputer SKTR. Kami membuat keputusan untuk membuat dua mural besar kerana di antara dua dinding itu terdapat pembahagi. Mural yang kami buat  bertemakan teknologi komputer. Bahan-bahan untuk membuat mural ini adalah disediakan penuh oleh pihak SKTR.

            Proses membuat mural kami ini diketuai penuh oleh kelas saya ( PISMP BM 1) , kerana mereka saya asas kemahiran seni yang dipelajari ketika di pra persediaan dahulu. Kedua-dua kelas yang lainnya langsung tidak mempunyai asas kemahiran seni. Oleh itu, wakil kelas saya BM 1 ini telah merangka dan membentuk mural menggunakan teknik `free hand’ manakala ahli kelas lain hanya tolong mewarnakan sahaja.

Ketika proses mengecat ini, kami telah membina beberapa kumpulan kecil untuk mengecat dalam satu-satu masa kerana ruang untuk mengecat memang terhad. Sekiranya 35 orang bergerak sekali, mungkin akan berlakunya kesilapan atau kecuaian di dalam mengecat. Di samping itu, dengan terbahaginya kumpulan-kumpulan kecil, kami juga dapat berehat dan bersolat secara bergilir-gilir tanpa mengganggu proses mengecat mural. Bagi saya sendiri sebagai salah seorang ahli mewarna, saya rasa seronok kerana walaupun saya masih tidak pandai melukis dan melakar mural, sekurang-kurangnya untuk mengecat mural tiada masalah.

Dengan wujudnya sistem kumpulan-kumpulan kecil ini, saya juga dapat bergerak kesemua tempat tugasan iaitu ke perpustakaan dan bilik seni. Saya bergerak ke perpustakaan selepas bahagian saya mengecat telah siap. Apabila saya berjaya siapkan tugasan di perpustakaan, saya lari sekejap untuk makan dan bersolat. Selesai sahaja solat, saya terus bergegas ke bilik seni mula untuk mencari kerja. Walaupun tugasan di perpustakaan dan bilik seni tidaklah sesusah mana, namun saya tetap berpuas hati kerana saya dapat melihat, menilai dan mengambil iktibar dari kekurangan dan kelebihan perpustakaan dan bilik seni SKTR.

Selain itu, saya juga berasa cukup teruja dan gembira apabila melihat gelagat rakan-rakan di dalam proses menyiapkan setiap tugasan yang diberikan. Mereka semua cukup profesional kerana dari mata kasar saya, setiap seorang dari mereka cukup bersungguh-sungguh, bersemangat dan langsung tidak mahu mencuri tulang ketika membuat tugasan masing-masing. Hal ini membuatkan saya agak terkejut disamping menaikkan motivasi diri saya untuk lebih bersemangat dan gigih untuk mengecapi kesempurnaan tugasan saya. Saya juga menjadi lebih yakin untuk berkerjasama dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan jantina.



-AKHIR

              Di dalam jadual kami, tercatat bahawa majlis penutup bermula pada jam 4 ptg. Pada anggaran asal kami, untuk menyiapkan  2 mural dalam masa 5 jam agak mustahil kerana mengikut pengalaman saya, untuk menyiapkan 2 mural menggunakan teknik `free hand’ sekurang-kurangnya mengambil masa selama sehari suntuk. Walau bagaimanapun, Alhamdulilah, hasil kerjasama dan kesungguhan semua pelajar PISMP sem 3 di SKTR, akhirnya semua tugasan termasuklah mural dapat disiapkan sebelum jam 4 ptg.  Kami bukan sahaja sempat menyiapkan semua tugasan malahan kami juga turut sempat membuat sesi bergambar, buktinya gambar-gambar di atas.

              Tepat jam 4.15ptg, kami semua telah memulakan majlis penutup kami. Majlis ini disertai En. Johari Bin Bapokutty selaku wakil IPGKTAA, En. Ismail Bin Abu Bakar selaku Guru Besar SKTR serta guru-guru SKTR. Saya sendiri mewakili semua pelajar PISMP sem 3 di SKTR untuk memberikan sedikit ucapan. Bermula dengan ucapan saya, saya mewakili sahabat-sahabat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak SKTR kerana sudi membantu kami di dalam menjayakan program BIG fasa 3 untuk tahun 2012

            Saya juga mewakili sahabat-sahabat memohon keampunan dari hujung rambut ke hujung kaki sekiranya sepanjang kehadiran kami di SKTR ada membawa pelbagai masalah dan kekurangan kepada pihak SKTR. Selepas saya mengakhiri ucapan saya, En. Ismail pula berucap mewakili pihak SKTR. Beliau mengucapkan terima kasih pihak beliau kerana sudi memilih sekolah beliau untuk menjalani BIG dan beliau juga memohon ampun atas segala kekurang dari pihak beliau. Beliau amat berharap semoga pihak IPGKTAA sudi bertandang lagi ke SKTR tidak kisah dengan apa jenis program sekali pun, 

             Sebagai rumusan dari diri saya sendiri, sepanjang hari di SKTR, secara jujurnya adalah suatu yang amat memenatkan. Saya akui, keletihan yang dialami masih terasa sehingga ke malam harinya. Namun begitu, segala manfaat dan pengalaman yang saya dapati sepanjang saya di SKTR amat berbaloi dengan kepenatan yang saya rasai. Saya tidak berasa sakit hati, tetapi saya berasa cukup bersyukur dan puas hati dengan segala yang saya dapati sepanjang hari di SKTR. Saya amat berharap semoga segala apa yang saya dapati di dalam BIG fasa 3 ini, dapat saya gunakan semula di masa saya menjadi guru kelak,Insyallah.  

Pengenalan BIG ( bina insan guru )


   Pengurusan pengetahuan dalam era globalisasi dan dunia k-ekonomi mengutamakan integrasi antara pelbagai kecerdasan (multiple intelligence) dan pelbagai tugas (multi-tasking). Dalam mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar kemajuan pendidikan, penghayatan dan latihan khas diterapkan di dalam setiap bakal guru demi memenuhi Visi Bahagian Pendidikan Guru untuk membangunkan sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia untuk melahirkan guru yang sentiasa cemerlang dan bersedia memenuhi aspirasi negara. Sukatan Pelajaran Pendidikan Bina Insan Guru disediakan untuk memenuhi keperluan Latihan Perguruan Pra Perkhidmatan mulai ambilan tahun 2001, dibawah komponen Asas Dinamika Guru. Sukatan pelajaran ini menekankan kepada unsur- unsur hidup bermoral dan beragama sebagai fokus utama dalam proses pembinaan Insan Guru yang berpaksikan kepada Prinsip Rukun Negara. Pembinaan insan guru adalah asas pembentukan masyarakat dan menjadi kerangka kepada pembentukan Negara Bangsa.

    Proses pembinaan insan guru dilihat dari aspek kesedaran bahawa profesion keguruan adalah mulia. Insan guru adalah pembina generasi cemerlang, pembentuk jati diri dan menjadi role model kepada masyarakat. Justeru guru harus mampu menyesuaikan diri dalam semua keadaan dan mampu menangani cabaran era globalisasi.  Program Bina Insan Guru mampu melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara sesuatu masyarakat bersatupadu, demokratik, progresif dan berdisiplin serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Guru.


Kemahiran Menulis


KEMAHIRAN MENULIS

7.1   Peringkat Perkembangan Menulis


Tulisan dan bacaan mempunyai hubungan yang rapat dan saling melengkapi.  Seseorang akan membaca hasil tulisan seseorang dan

Mari Mengenali Syair


Mari kita mengenali syair

Syair merupakan sejenis puisi berlagu. Syair disampaikan dalam bentuk rangkap dan menjadi kegemaran masyarakat Melayu lama. Setiap rangkap dalam syair mengandungi sebanyak 4 baris dan kesemuanya membawa makna isi dan maksud yang ingin disaampaikan. Keempat-empat baris tersebut berirama sama.

     Selain itu, syair tidak mempunyai pemilik atau penulis yang khusus. Ia dianggapkan milik bersama oleh masyarakat Melayu lama. Hamzah Fansuri telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan menyebabkan syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab.

    Di samping itu, syair juga  membawa maksud perasaan serta pengenalan dengan pancaindera yang selalunya membangkitkan pelbagai perasaan dan pengalaman serta mempunyai bahasa yang indah dan menarik.

    Syair juga sering membawa makna isi yang behubung dengan kias ibarat, sindiran, nasihat, pengajaran, agama dan juga berasaskan sejarah atau dongen.

Ciri-ciri syair adalah sebagai berikut.
  • Terdiri atas empat baris sebait.
  • Tiap baris terdiri atas 8-12 suku kata.
  • Semua baris merupakan isi.
  • Berima akhir lurus atau sama (a a a a).
  • Menurut isinya, syair dibedakan sebagi berikut.
  • Syair dongeng atau angan-angan.
  • Syair kiasan atau sindiran.
  • Syair cerita atau hikayat.
  • Syair cerita kejadian.
  • Syair ajaran budi pekerti.

statistics

karyafarhana. Dikuasakan oleh Blogger.

Subscribe Box

Subscribe Here

Sign up here with your email.

Contact

Nama

E-mel *

Mesej *

Pengikut

click me to reveal the contact form

Get in touch with us:

Nama

E-mel *

Mesej *

LAMAN SESAWANG INI TELAH DITUTUP

Laman ini adalah projek semasa IPG,

segala data sebelum ini kami mohon maaf atas kecuaian kami