Elemen-Elemen Dalam Falsafah Pendidikan Negara


Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, muka surat 385, elemen bermaksud sesuatu yang menjadi bahagian dalam keseluruhan unsur. Pendek kata, elemen amat penting bagi sesuatu perkara supaya objektif yang terkandung didalamnya dapat dilaksanakan dan juga perkara tersebut dapat dijalankan dengan teratur.  Terdapat pelbagai elemen yang dapat dikenalpasti dalam Falsafah Pendidian Kebangsaan antaranya ialah:-

Pendidikan suatu usaha yang berterusan

Pendidikan merupakan satu proses pemerolehan dan peminahan ilmu secara berterusan. Tambahan pula, proses ini termasuk juga apabila individu mengakses dan juga dapat mengaplikasikan pemerolehan ilmu tersebut dalam aspek kemahiran dan juga nilai-nilai murni yang sering diajar secara formal dan juga secara tidak formal. Pendidikan merupakan suatu usaha berterusan, seperti yang dituntut dalam Islam, sebagaimana di dalam sepotong hadith: "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad." Untuk pengetahuan semua, proses ini berlaku secara berterusan daripada individu tersebut kecil sehingga ke akhir usianya. 

Proses ini diterapkan ke dalam konsep pembelajaran moden, iaitu 'Pembelajaran Sepanjang Hayat' ataupun lebih dikenali sebagai 'Long-Life Learning'. Tambahan pula, pendidikan awal kanak-kanak yang setiap individu terima adalah sangat penting kerana pendidikan ini bertujuan untuk membentuk asas sahsiah dan akhlak kanak-kanak ketika masih didalam lingkungan usia antara satu sehingga enam tahun.  

Tambahan pula, sahsiah yang dibentuk ini akan terus berkembang sehingga tamat persekolahan dan apabila sesi persekolahan tamat, setiap individu masih meneruskan peningkatan ilmu yang diperolehi, kemahiran yang dipelajari dan juga peningkatan dalam akhlah dan juga sahsiah mereka. Proses-proses yang berlaku ketika individu membesar seperti proses pendidikan adalah amat penting supaya individu dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dan juga pelbagai situasi yang bakal ditempuhi di hari-hari mendatang. 

Perkembangan potensi individu

Setiap individu ini telah dikurniakan potensi, bakat dan juga kebolehan yang dapat dilihat secara langsung dan juga perlu dicungkil. Potensi merupakan satu elemen yang perlu dicungkil, diasah dan juga dikembangkan oleh individu lain dari semasa ke semasa ataupun secara berterusan. 

Setiap individu mempunyai potensi diri, bakat dan juga kebolehan yang berlainan dan perkara-perkara ini perlu dicungkil, diasah, dipupuk dan juga perlu dikembangkan oleh individu yang lain. Potensi setiap individu merangkumi dua aspek yang penting iaitu daripada segi luaran iaitu jasmani dan juga daripada segi dalaman iaitu rohaniah. Contohnya, guru memainkan peranan penting untuk mencungkil, mengasah dan juga memperkembang potensi para pelajarnya supaya individu lebih yakin pada diri sendiri dan juga lebih berani apabila berdepan dengan masyarakat. 

Selain itu, potensi dan bakat ini juga dapat dicungkil dan menjelma melalui interaksi sosial antara individu dengan individu yang lain. Contohnya apabila kita berinteraksi dan berbincang dengan orang lain. Daripada situ, kita dapat lihat bahawa pelbagai cara boleh kita aplikasikan bagi bakat dan potensi seseorang individu dapat diperkembangkan dan juga dapat diasas sehingga ianya dapat disesualkan dengan diri individu. Proses pendidikan adalah penting dan proses ini seharusnya memberi peluang kepada setiap individu untuk memperkembangkan potensi diri mereka sendiri. 

Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu

Seperti yang kita tahu, bakat, potensi dan juga kebolehan memang tidak boleh dipisahkan serta ianya perlu dikembangkan secara bersama. Sebaliknya, bakat, potensi dan juga kebolehan perlu dikaitkan dan juga perlu diselaraskan supaya ketiga-tiga unsur ini dapat berkembang selari dan tidak akan ada pertentangan antara satu sama lain. Tambahan pula, ia juga menggabungkan aspek nilai-nilai murni dan norma-norma hidup masyarakat yang positif.  

Antara aspek-aspek yang terlibat dan yang merangkumi dalam perkembangan dan peningkatan individu adalah daripada aspek intelek, rohani, jasmani, emosi dan juga sosial. Potensi dan juga kebolehan yang dimiliki setiap individu ini adalah sangat penting kerana ia berupaya untuk memenuhi keperluan asas manusia semasa hayatnya dikandung badan seperti makanan, minuman, pembuangan sisa-sisa kotoran, waktu rehat dan juga pelbagai lagi. 

Insan yang harmonis dan seimbang

Insan yang seimbang sering member penekanan kepada keseimbangan dari segi rohaniah iaitu dalaman setiap individu dan juga dari segi jasmaniah iaitu sifat luaran setiap individu yang berbeza. Bagi melahirkan insan yang harmonis dan juga seimbang adalah amat penting individu tersebut memiliki ciri-ciri yang amat penting. Antaranya adalah apabila individu tersebut memiliki ilmu yang diambil kira daripada aspek intelek. Individu tersebut perlu menuntut ilmu sebanyak yang mungkin supaya dapat membezakan keburukan dan juga kebakan yang individu alami dalam kehidupan. Selain tu, individu tersebut juga perlu mempunyai sahsiah yang baik. 

Keadaan ini boleh kita lihat dari aspek emosi seseorang individu. Ianya sangat penting kerana individu dapat seimbangkan emosinya dan juga menjaga sahsiahnya. Tambahan pula, individu yang seimbang juga perlu percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik dan juga mulia. Individu perlu menjaga dengan baik kepercayaannya kepada Tuhan kerana dari segi rohani, ia amat penting dan menggambarkan seseorang akan keperibadiaannya serta ia dapat mewujudkan hubungan yang baik antara individu dengan Penciptanya. Selain itu, individu perlu mempunyai dan menjaga kesihatan diri yang baik dari segi jasmaninya kerana ianya adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada individu untuk melaksanakan kewajipan yang diperintahkn dan meninggalkan larangannya. Selain itu, kita perlu jaga akan kesihatan kita supaya kita dapat melakukan aktiviti dengan lancar kerana apabila kita jatuh sakit dan tidak menjaga kesihatan kita, aktiviti seharian kita akan tertangguh dan keadaan ini akan mendatangkan kesusahan kepada diri kita sendiri. 

Keempat-empat aspek yang telah dinyatakan diatas boleh dan dapat menghasilkan individu yang mampu untuk hidup secara harmonis dan juga dapat melahirkan insan yang bertanggungjawab, berpengetahuan, berdisiplin dan juga insan yang sentiasa membantu orang lain. Tambahan pula, individu yang seimbang ini akan berusaha untuk memajukan dirinya sendiri, bangsa dan juga negara. Individu ini juga memiliki sistem ketahanan dan juga memiliki jati diri yang tinggi untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa sahaja masalah yang timbul dalam kehidupan. 

Unsur intelek
Bagi elemen ini iaitu unsur intelek memberi banyak penekanan terhadap proses pembelajaran. Setiap individu perlu mempunyai dan berupaya serta menguasai kemahiran asas bagi proses ini iaitu 3M. Program 3M ini merangkumi membaca, mengira dan juga menulis. Objektif bagi program ini dijalankan terutamanya di peringkat awal pendidikan adalah untuk membasmi masalah buta huruf yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya masyarakat peribumi. 

Individu perlu dan sering berusaha untuk memperoleh, memperkembang dan juga meningkatkan ilmu pengetahuan.  Tambahan pula, individu juga perlu mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif, kritikal dan juga reflektif. Individu juga perlu berusaha untuk memperkembangkan daya pemikiran dengan mengkaji, menganalisis dan mengemukakan idea-idea yang bernas. Selain itu, individu juga perlu menjadi seseorang yang sanggup untuk berkongsi ilmu yang sedia ada bersama-sama orang lain dan persekitarannya atau kata lainnya adalah menyebarluaskan ilmu. Ini kerana ilmu yang dikongsi dan diperolehi dapat individu lain aplikasikannya dan ilmu tersebut bermanfaat kepada masyarakat dan juga negara untuk dikembangkan atau dinaiktarafkan pada masa akan datang.

Unsur rohani

Rohani selalu dikaitkan dengan dalaman setiap individu. Ini termasuk dengan sahsiah oleh setiap individu. Kita dapat lihat bahawa individu mempunyai sahsiah yang berlainan dan mempunyai kepercayaan sendiri.  Unsur rohani ini merangkumi beberapa ciri-ciri yang melibatkan individu. Pertama sekali adalah, individu perlu sedar akan kewujudan Pencipta ataupun Yang Maha Kuasa di dunia ini kerana tanpaNya kita mungkin tidak akan hidup sekarang.  

Individu perlu menyedari dan mempercayai kepada-Nya sentiasa. Tambahan pula, individu perlu menyemai rasa bersyukur dan berterima kasih diatas segala kurniaan, nikmat dan pemberian yang telah diberi kepada kita seperti rezeki, kemewahan dan sebagainya. Kita sebagai individu tidak boleh berasa bongkak, riak dan juga sombong diri jika kita mempunyai kelebihan daripada individu lain kerana kelebihan itu adalah kurniaan Allah. Jika kita berkelakuan seperti itu, tidak mustahil jika kelebihan kita itu akan ditarik balik secara terus ataupun secara perlahan-lahan oleh-Nya. 

Selain itu, sebagai individu, kita perlu memiliki akhlak yang tinggi dan mulia serta kita dapat mendisiplinkan diri dan berpegang kepada nilai-nilai murni bagi menjaga diri apabila berada dimana-mana sahaja.

Unsur emosi

Individu perlu mempunyai emosi yang stabil supaya matang dalam membuat sebarang keputusan dan bagi melakukan sesuatu pekerjaan. Jika emosi kita tidak stabil, kita tidak akan dapat membuat sesuatu perkara dengan terbaik. Contohnya apabila seorang guru mempunyai emosi yang tidak stabil, guru tersebut akan senantiasa memarahi anak muridnya. Perkara ini seharusnya tidak terjadi apabila kita mempunyai dan pandai mengawal emosi kita.

Tambahan pula, unsur ini menjadikan kita seorang individu yang memiliki dan boleh memupuk perasaan kasih sayang. Apabila timbul perasaan kasih sayang, kita akan sentiasa menjaga antara satu sama lain dan dari situ wujud semangat kekitaan yang menekankan kepada kerja berkumpulan dan juga akan timbul konsep bekerjasama antara satu sama lain. Selain itu, individu akan berupaya untuk menghayati keindahan dan juga kesenian yang wujud dalam sesuatu benda. Dari sini, maka tersemailah nilai estetika dalam individu tersebut. 

Unsur jasmani
Unsur jasmani adalah unsur yang amat penting dan kita perlu bersyukur kepada Allah kerana ini adalah salah satu nikmat yang diberikan kepada makhluknya seperti kita. Seperti yang kita tahu, unsur jasmani menekankan kepada individu supaya memiliki tubuh badan yang sihat melalui pelbagai cara seperti melakukan senaman. Individu juga perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran teknikal, 

kemahiran manipulatif dan juga kemahiran sosial supaya dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. Selain itu, individu juga dapat mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Tambahan pula, individu perlu sedar akan kepentingan bagi menjaga kesihatan sama ada luaran dan juga dalaman.  Individu perlu sedar akan kepentingan ini kerana ini merupakan nikmat yang perlu kita gunakan dengan sebaik-baiknya. Apabila kita sebagai individu sihat dari segi jasmani, kita dapat menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan kita dan masyarakat sekeliling. 

Daripada aktiviti seperti itu. Kita dapat pupuk semangat berdikari dalam setiap individu dan juga semangat bekerjasama antara individu dalam satu kelompok masyarakat. Ini kerana individu dapat menggunakan kecerdasan fizikal yang dimiliki bagi membantu masyarakat selain daripada memberi manfaat kepada dirinya sendiri. 

Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan

Tuhan merupakan Pencipta kepada makhluknya yang wujud di alam fana ini. Kita sebagai makhluk dan juga individu wajib mengakui akan kewujudan Tuhan. Maksudnya setiap individu perlu mempunyai agama dan seterusnya mempercayai akan agama yang dianuti itu dan Penciptanya. Ini kerana demi kebaikan individu itu sendiri supaya dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk akan peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan. 

Individu juga perlu mengakui bahawa Tuhan yang telah mewujudkan alam ini dan seterusnya yang bertanggungjawab mengatur segala proses kehidupan yang berlaku di alam ini. Individu juga perlu menyedari bahawa segala yang ada di alam ini seperti hukum-hukum dan juga fenomena alam merupakan antara peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Kita sebagai individu telah diamanahkan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi dan juga sebagai pemegang amanah serta menerima tanggungjawab dari Tuhan untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin mengikut tahap kita. Tambahan pula, individu perlu menyedari bahawa segala perbuatan yang dilakukan di alam ini adalah tanggungjawab individu itu sendiri. 

Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

Ilmu pengetahuan amat penting bagi setiap individu untuk memajukan diri mereka sendiri. Mereka perlu melalui proses pembelajaran secara formal dan juga secara tidak formal bagi membolehkan mereka memperoleh ilmu dan seterusnya mereka dapat mengembangkan bakat yang mereka perolehi sama ada bakat yang telah terserlah ataupun bakat yang terpendam. Tambahan pula, kita perlu menjadi rakyat Malaysia yang cinta akan ilmu pengetahuan dan individu sepatutnya menanamkan usaha ke arah mempertingkatkan ilmu pengetahuan. 

Tambahan pula, rakyat  Malaysia perlu dan berusaha untuk memupuk budaya ilmu dan menjadikan sebagai budaya membaca. Rakyat Malaysia perlu menjadikan sikap membaca ini sebagai jambatan ilmu kerana kita perlu mencari dan juga mendapatkan maklumat serta pengetahuan yang baru untuk diri sendiri dan juga kepada masyarakat. Individu sebagai rakyat Malaysia perlulah mempunyai fikiran yang terbuka, luas dan juga berfikiran positif. Individu perlu memanfaatkan segala ilmu yang telah diperoleh untuk dikongsi dengan diri sendiri serta bersama dengan masyarakat sekeliling. 

Rakyat Malaysia yang berketrampilan

Rakyat Malaysia  perlu menjadi seorang individu yang berketerampilan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, keterampilan bermaksud kecekapan, kemampuan yang tinggi. Maksudnya ia bukan sekadar kemampuan cukup makan, tetapi lebih daripada itu. Daripada situ, individu boleh mempunyai kecekapan dan juga mempunyai kompetensi diri yang dapat dikembangkan dari semasa ke semasa. Tambahan pula, apabila individu menjadi seorang yang berketerampilan, maka individu dapat dan menjadi seorang yang berkebolehan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan sempurna kerana individu mempunyai dan juga memiliki kemahiran, pengetahuan dan juga kelayakan yang setaraf dengan dirinya. 

Apabila individu menjadi seorang yang berketerampilan, individu tersebut dapat dan boleh berpandangan jauh serta mempunyai inisiatif sendiri dalam melakukan perkara dan juga menyelesaikan sesuatu masalah. Daripada itu, individu akan lebih mudah untuk melakukan tugas yang telah diamanahkan dengan lebih cekap dan teliti serta individu akan mempunyai pembawaan diri yang positif dan masyarakat akan dengan penyesuaian diri kita. 

Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia

Akhlak merupakan satu perkara yang amat penting dan akhlak ini yang akan mencerminkan individu tentang pembawaan dirinya walaupun berada di mana sahaja. Dalam FPK, amat menitikberatkan tentang rakyat Malaysia yang mempunyai akhlak yang mulia dan baik. Apabila mempunyai akhlak yang baik, ini bermakna individu mempunyai perwatakan diri dan juga memiliki budi pekerti yang baik dan mulia serta mudah untuk bergaul bersama-sama masyarakat sekeliling. Individu perlu menghayati dan juga berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral seperti nilai-nilai kerohanian dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia sebagai prinsip hidup.  Tambahan pula, dengan akhlak, setiap individu dapat membezakan nilai-nilai yang baik dan juga nilai-nilai yang buruk. Individu juga dapat mengaplikasikan kesemua ini dalam hidupnya dan seterusnya memiliki kehidupan yang lebih baik. 

Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab

Tanggungjawab merupakan satu aspek yang penting dalam diri setiap individu yang perlu diberi penekanan bagi melaksanakan dasar yang terlibat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, individu perlu memainkan peranan dan mengambil tahu akan tanggungjawab masing-masing sebagai ahli masyarakat. Pertama sekali ciri-ciri yang perlu ada dan sangat ditekankan bagi melaksanakan elemen yang ini adalah menjadi seorang individu yang boleh dipercayai. Apabila kita  menjadi seorang yang boleh dipercayai, maka kita senang untuk melaksanakan apa sahaja perkara. 

Tambahan pula individu juga perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama yang dianuti dan juga negara yang didiami. Setiap kelompok ini menjadikan individu mempunyai tanggungjawab yang berlainan dan setiap tugas serta tanggungjawab yang telah diberikan oleh setiap kelompok ini merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik serta bersungguh-sungguh. Setiap tugas dan juga tanggungjawab yang telah diamanahkan perlu dijalankan dan dilaksanakan dengan cekap, penuh dedikasi, amanah dan juga bersih tanpa ada unsur-unsur yang haram seperti riba’ bagi meningkatkan produktiviti negara pada masa yang mendatang. Apabila suatu tanggungjawab dijalankan dengan baik, perlulah individu mematuhi segala peraturan dan juga undang-undang yang telah termaktub di dalam undang-undang negara. 

Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri

Dalam elemen ini, rakyat Malaysia perlu mempunyai keupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri mereka. Bagi mencapainya, individu perlulah mempunyai fikiran yang waras iaitu masih boleh berfikir dan juga dapat membezakan baik dan juga buruk sesuatu perkara. Selain itu, individu juga perlulah mempunyai jiwa yang tenang supaya segala perkara yang dilaksanakan dapat mencapai objektif masing-masing. Individu-individu yang ditekankan dengan ciri-ciri di atas perlu mempunyai daya ketahanan fizikal dan juga mental yang kuat serta tinggi untuk menghadapi liku-liku dan cabaran hidup yang kini semakin mencabar. 

Tanpa daya ketahanan ini, kemungkinan untuk individu melangkah ke hadapan bagi mengharungi liku-liku dan cabaran hidup ini agak sukar dan menyulitkan keadaan masing-masing. Pendek kata, individu yang mempunyai akal yang waras, usaha yang gigih dan mempunyai tujuan yang jelas akan dapat mencapai apa sahaja yang dicita-citakan dan juga apa sahaja perkara yang ingin dilaksanakan. 

Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

Bagi elemen ini, individu sebagai rakyat Malaysia perlu berusaha untuk memupuk semangat perpaduan diantara rakyat negara dan individu perlu berusaha untuk mengekalkan kestabilan dan juga kemakmuran negara melalui nilai-nilai murni, sifat toleransi, individu juga perlu bertimbang rasa, mempunyai semangat kekitaan, individu juga perlu saling hormat antara satu sama lain dan sebagainya lagi yang dapat individu lakukan bagi menjadi rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan juga kemakmuran masyarakat dan negara. 

Pada masa yang sama, individu perlu mematuhi norma masyarakat yang wujud pada hari ini dan jangan sesekali kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma-norma ini. Disamping itu, kita juga perlu wujudkan persefahaman dalam suatu kelompok masyarakat supaya kita boleh lebih menerima norma masyarakat tanpa ada sebarang masalah. Tambahan pula, individu juga perlu berusaha untuk memajukan ekonomi negara dengan mempraktikkan dan mengaplikasikan penggunaan sains dan juga teknologi moden yang bersesuaian dengan era dan masa kini. Selain itu, individu juga perlu meningkatkan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar yang telah ditetapkan sejak awal lagi seperti Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai lagi. Individu yang terlibat dalam pemerintahan sesuatu kerajaan perlu mencari inisiatif dan cuba untuk menjadikan politik di negara dalam keadaan yang stabil. 

Disamping itu, individu juga perlu mematuhi segala perlembagaan dan juga semua peraturan dan akta yang termaktub dalam perlembagaan negara supaya individu dapat memakmurkan negara, individu perlu menghayati Rukun Negara dengan sepenuh jiwanya. Individu juga perlu menjadikan Rukun Negara ini sebagai satu amalan yang dilakukan dan diadaptasikan dalam kehidupan seharian. 

sempoga bermanfaat

1 ulasan:

  1. Terima kasih atas nota yang dikongsi. Semoga awak dirahmati

    BalasPadam

statistics

karyafarhana. Dikuasakan oleh Blogger.

Subscribe Box

Subscribe Here

Sign up here with your email.

Contact

Nama

E-mel *

Mesej *

Pengikut

click me to reveal the contact form

Get in touch with us:

Nama

E-mel *

Mesej *

LAMAN SESAWANG INI TELAH DITUTUP

Laman ini adalah projek semasa IPG,

segala data sebelum ini kami mohon maaf atas kecuaian kami