Contoh Kertas Kerja BIG





INSTITUT PENDIDIKAN GURU (IPG)
KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN
KUALA LIPIS, PAHANG

Contoh Refleksi Lengkap BIG ( bina insan guru )


SELASA, 24.4.2012

Pada tarikh ini, semua pelajar PISMP sem 3  tahun 2012 melalui  `Bengkel Etikat dan Sosial di dewan kuliah A. Bengkel ini bermula dari pukul 8 mlm dan berakhir pada  pukul 11 mlm. Bengkel ini disampaikan oleh Encik Ahmad Yani Bin Mat Yusof iaitu Ketua Unit Kokurikulum IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan. Beliau menerangkan tentang pelbagai perkara contohnya maksud etika, protokol dan bagaimana etika dan protokol di  dalam sesuatu majlis. Antara perkara yang diberitahu oleh beliau adalah,  Protokol berasal daripada perkataan Yunani iaitu “protos” yang bermakna yang “pertama” dan “kolla” bermaksud “pelekat”. Zaman dahulu protokol merujuk kepada sehelai kertas yang ditampalkan kepada suatu dokumen ataupun undang – undang untuk memastikan kesaktiannya. Zaman sekarang protokol boleh merujuk kepada         “ peraturan” bagi sesuatu majlis rasmi ataupun bukan rasmi.

Protokol yang diterangkan oleh beliau melibatkan pelbagai aspek, contohnya Jawatankuasa, Tempat Majlis, Penyediaan Senarai Jemputan, Aturcara Majlis, Kesesuaian Pakaian Dalam Majlis, Penulisan Dan Pengedaran Kad Jemputan, Pemilihan Menu, Susunan Keutamaan, Panggilan Hormat, Susunan Tempat Duduk, Pengacaraan Majlis   Formal, Penyediaan Aturcara  Pentadbiran, Peranan Penyambut Tetamu, Raptai, Persiapan Dewan dan Post-Mortem. Pada pendapat saya, penerangan beliau bagi setiap aspek di atas cukup ringkas tetapi padat. Antara perkara yang titik beratkan oleh beliau adalah pemilihan jawatankuasa. Kata beliau, untuk memilih ahli jawatankuasa, pemilihan perlulah dilakukan dengan bijak kerana kejayaan sesuatu majlis itu terletak kepada kesungguhan dan kebijaksanaan ahli jawatankuasanya.
Di samping itu, beliau juga mengutarakan tentang aturcara majlis. Kata beliau, aturcara majlis haruslah disusun dengan baik mengikut majlis tersebut sama ada Peringkat Antarabangsa, Peringkat Kebangsaan, Peringkat Negeri, Peringkat Daerah  ataupun Peringkat Agensi. Kelicinan pergerakan majlis akan menjimatkan masa dan tenaga semua pihak.

KHAMIS, 26.4.2012
-AWAL-

Kelas saya iaitu PISMP BM1/PJ/PSV bersama-sama dengan kelas PISMP MT dan PISMP PS telah menjalani amali Bina Insan Guru di Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, Cameron Highlands. Tugasan yang kami perlu laksanakan adalah khidmat komuniti dan berfokus kepada membuat mural. Kami tiba di Sekolah lebih kurang jam 10.10 pagi. Kehadiran kami dijemput oleh Guru Besar SKTR iaitu Encik Ismail Bin Abu Bakar (gambar sebelah kiri di atas). Beliau amat mengalu-alukan kedatangan kami ke SKTR. Pihak beliau telah sedia maklum tentang kedatangan dan maklumat tentang tugasan kami di SKTR, oleh itu beliau telah memberi tugasan kepada kami mengikut tiga kumpulan iaitu kumpulan membuat mural, kumpulan mengemas perpustakaan dan kumpulan mengemas bilik seni.

Bilangan kami semua adalah 45 orang. Justeru itu, kami membahagikan 35 orang untuk kumpulan membuat mural, 5 orang untuk kumpulan mengemas perpustakaan dan 5 orang untuk kumpulan mengemas bilik seni. Selepas sarapan iaitu lebih kurang jam 11.15 pagi, kami semua mula bergerak ke tempat tugasan masing-masing.

 Saya mengambil inisiatif untuk terlibat di dalam ketiga-tiga kumpulan. Bagi saya setiap tugasan dan tanggungjawab itu mempunyai manfaat dan pengalamannya yang tersendiri. Oleh yang demikian, saya sebagai bakal guru di masa hadapan, berasa amat rugi sekiranya saya tidak mengambil setiap pengalaman dan manfaat ini. Kesihatan dan tenaga saya pada ketika ini adalah di dalam kondisi yang cukup baik, maka tidak rugi bagi saya mengerah setiap keringat tenaga untuk membuat semua tugasan ini.


-SEMASA -
               
Gambar-gambar di atas menunjukkan tempat mural di buat  ketika proses membuat mural di jalankan. Kami ditugaskan untuk membuat mural di dua bahagian dinding makmal komputer SKTR. Kami membuat keputusan untuk membuat dua mural besar kerana di antara dua dinding itu terdapat pembahagi. Mural yang kami buat  bertemakan teknologi komputer. Bahan-bahan untuk membuat mural ini adalah disediakan penuh oleh pihak SKTR.

            Proses membuat mural kami ini diketuai penuh oleh kelas saya ( PISMP BM 1) , kerana mereka saya asas kemahiran seni yang dipelajari ketika di pra persediaan dahulu. Kedua-dua kelas yang lainnya langsung tidak mempunyai asas kemahiran seni. Oleh itu, wakil kelas saya BM 1 ini telah merangka dan membentuk mural menggunakan teknik `free hand’ manakala ahli kelas lain hanya tolong mewarnakan sahaja.

Ketika proses mengecat ini, kami telah membina beberapa kumpulan kecil untuk mengecat dalam satu-satu masa kerana ruang untuk mengecat memang terhad. Sekiranya 35 orang bergerak sekali, mungkin akan berlakunya kesilapan atau kecuaian di dalam mengecat. Di samping itu, dengan terbahaginya kumpulan-kumpulan kecil, kami juga dapat berehat dan bersolat secara bergilir-gilir tanpa mengganggu proses mengecat mural. Bagi saya sendiri sebagai salah seorang ahli mewarna, saya rasa seronok kerana walaupun saya masih tidak pandai melukis dan melakar mural, sekurang-kurangnya untuk mengecat mural tiada masalah.

Dengan wujudnya sistem kumpulan-kumpulan kecil ini, saya juga dapat bergerak kesemua tempat tugasan iaitu ke perpustakaan dan bilik seni. Saya bergerak ke perpustakaan selepas bahagian saya mengecat telah siap. Apabila saya berjaya siapkan tugasan di perpustakaan, saya lari sekejap untuk makan dan bersolat. Selesai sahaja solat, saya terus bergegas ke bilik seni mula untuk mencari kerja. Walaupun tugasan di perpustakaan dan bilik seni tidaklah sesusah mana, namun saya tetap berpuas hati kerana saya dapat melihat, menilai dan mengambil iktibar dari kekurangan dan kelebihan perpustakaan dan bilik seni SKTR.

Selain itu, saya juga berasa cukup teruja dan gembira apabila melihat gelagat rakan-rakan di dalam proses menyiapkan setiap tugasan yang diberikan. Mereka semua cukup profesional kerana dari mata kasar saya, setiap seorang dari mereka cukup bersungguh-sungguh, bersemangat dan langsung tidak mahu mencuri tulang ketika membuat tugasan masing-masing. Hal ini membuatkan saya agak terkejut disamping menaikkan motivasi diri saya untuk lebih bersemangat dan gigih untuk mengecapi kesempurnaan tugasan saya. Saya juga menjadi lebih yakin untuk berkerjasama dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan jantina.



-AKHIR

              Di dalam jadual kami, tercatat bahawa majlis penutup bermula pada jam 4 ptg. Pada anggaran asal kami, untuk menyiapkan  2 mural dalam masa 5 jam agak mustahil kerana mengikut pengalaman saya, untuk menyiapkan 2 mural menggunakan teknik `free hand’ sekurang-kurangnya mengambil masa selama sehari suntuk. Walau bagaimanapun, Alhamdulilah, hasil kerjasama dan kesungguhan semua pelajar PISMP sem 3 di SKTR, akhirnya semua tugasan termasuklah mural dapat disiapkan sebelum jam 4 ptg.  Kami bukan sahaja sempat menyiapkan semua tugasan malahan kami juga turut sempat membuat sesi bergambar, buktinya gambar-gambar di atas.

              Tepat jam 4.15ptg, kami semua telah memulakan majlis penutup kami. Majlis ini disertai En. Johari Bin Bapokutty selaku wakil IPGKTAA, En. Ismail Bin Abu Bakar selaku Guru Besar SKTR serta guru-guru SKTR. Saya sendiri mewakili semua pelajar PISMP sem 3 di SKTR untuk memberikan sedikit ucapan. Bermula dengan ucapan saya, saya mewakili sahabat-sahabat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak SKTR kerana sudi membantu kami di dalam menjayakan program BIG fasa 3 untuk tahun 2012

            Saya juga mewakili sahabat-sahabat memohon keampunan dari hujung rambut ke hujung kaki sekiranya sepanjang kehadiran kami di SKTR ada membawa pelbagai masalah dan kekurangan kepada pihak SKTR. Selepas saya mengakhiri ucapan saya, En. Ismail pula berucap mewakili pihak SKTR. Beliau mengucapkan terima kasih pihak beliau kerana sudi memilih sekolah beliau untuk menjalani BIG dan beliau juga memohon ampun atas segala kekurang dari pihak beliau. Beliau amat berharap semoga pihak IPGKTAA sudi bertandang lagi ke SKTR tidak kisah dengan apa jenis program sekali pun, 

             Sebagai rumusan dari diri saya sendiri, sepanjang hari di SKTR, secara jujurnya adalah suatu yang amat memenatkan. Saya akui, keletihan yang dialami masih terasa sehingga ke malam harinya. Namun begitu, segala manfaat dan pengalaman yang saya dapati sepanjang saya di SKTR amat berbaloi dengan kepenatan yang saya rasai. Saya tidak berasa sakit hati, tetapi saya berasa cukup bersyukur dan puas hati dengan segala yang saya dapati sepanjang hari di SKTR. Saya amat berharap semoga segala apa yang saya dapati di dalam BIG fasa 3 ini, dapat saya gunakan semula di masa saya menjadi guru kelak,Insyallah.  

Pengenalan BIG ( bina insan guru )


   Pengurusan pengetahuan dalam era globalisasi dan dunia k-ekonomi mengutamakan integrasi antara pelbagai kecerdasan (multiple intelligence) dan pelbagai tugas (multi-tasking). Dalam mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar kemajuan pendidikan, penghayatan dan latihan khas diterapkan di dalam setiap bakal guru demi memenuhi Visi Bahagian Pendidikan Guru untuk membangunkan sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia untuk melahirkan guru yang sentiasa cemerlang dan bersedia memenuhi aspirasi negara. Sukatan Pelajaran Pendidikan Bina Insan Guru disediakan untuk memenuhi keperluan Latihan Perguruan Pra Perkhidmatan mulai ambilan tahun 2001, dibawah komponen Asas Dinamika Guru. Sukatan pelajaran ini menekankan kepada unsur- unsur hidup bermoral dan beragama sebagai fokus utama dalam proses pembinaan Insan Guru yang berpaksikan kepada Prinsip Rukun Negara. Pembinaan insan guru adalah asas pembentukan masyarakat dan menjadi kerangka kepada pembentukan Negara Bangsa.

    Proses pembinaan insan guru dilihat dari aspek kesedaran bahawa profesion keguruan adalah mulia. Insan guru adalah pembina generasi cemerlang, pembentuk jati diri dan menjadi role model kepada masyarakat. Justeru guru harus mampu menyesuaikan diri dalam semua keadaan dan mampu menangani cabaran era globalisasi.  Program Bina Insan Guru mampu melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara sesuatu masyarakat bersatupadu, demokratik, progresif dan berdisiplin serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Guru.


statistics

karyafarhana. Dikuasakan oleh Blogger.

Subscribe Box

Subscribe Here

Sign up here with your email.

Contact

Nama

E-mel *

Mesej *

Pengikut

click me to reveal the contact form

Get in touch with us:

Nama

E-mel *

Mesej *

LAMAN SESAWANG INI TELAH DITUTUP

Laman ini adalah projek semasa IPG,

segala data sebelum ini kami mohon maaf atas kecuaian kami