PENGENALAN
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang
bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam
pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.
Sehingga
hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan
perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis
rasmi. Umumnya terdapat dua jenis utama pantun iaitu pantun berkait
dan pantun tidak berkait.
Bilangan
baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat. Lima bentuk
utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam
kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat. Pantun yang
popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat.
Setiap
pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun. Pembayang dalam
setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris
dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula
ialah maksud atau isi pantun.
Antara
ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya
mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat
dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat
berikut:
Sebab pulut santan terasa, Sebab mulut badan binasa. |
Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a
bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima,
pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku
kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata
sahaja.
Melalui
bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang
penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan
perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media
untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui
penyampaian yang berkias.
KANDUNGAN PANTUN MELAYU
Pembayang atau sampiran
- Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.
Maksud atau isi
- Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema).
Perkataan
- Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.
Suku kata
- Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.
Rima atau bunyi
- Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun. Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun. Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a.
Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :
Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/,
Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/, Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/, A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/. |
CIRI-CIRI PANTUN YANG BAIK
‣Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
-
mengandungi 4 kerat/baris
-
jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan
-
jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata
-
ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)
-
bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama- a,b,a,b .
-
bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
-
maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup
-
sarat dengan ciri-ciri tradisional-penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahirkan dan menggunakannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan